
Matahari mula menunjukkan lagaknya dengan cahaya yang amat terang. Keadaan langit yang sangat luas dan cerah, membuatkan Mahadi yang berdiri dihadapan tingkap biliknya seakan berundur seketika mencari bayang-bayang. Suhu sekeliling tidaklah tinggi, tapi Mahadi masih dapat merasa sedikit perit dipermukaan kulitnya dek kerana cahaya Sang Suria itu. Kepalanya kemudian dipalingkan kearah pintu dan didongakkan sedikit. Jam menunjukkan hampir pukul 9.00 pagi. Jam dinding berwarna biru muda yang dihiasi karikatur terkenal dari Jepun itu tidak pernah menjadi kegemarannya. Namun kerana ingin menjaga hati orang lain, dia merelakan jam dinding itu diletakkan di atas pintu biliknya. Pada mulanya dia agak marah dan kekok, tapi lama kelamaan Mahadi sudah terbiasa.
Mahadi perlu bersiap sedia lebih awal hari ini kerana jadualnya tidak seperti biasa. Dia perlu hadir setengah jam lebih awal dari waktu sebenar dan dia tidak suka memungkiri janji dan tanggungjawabnya. Malah, Mahadi tak pernah mengeluh tentang itu kerana dia tahu perjuangannya masih belum berakhir. Apa jua perkara baik atau buruk harus dilaluinya dengan tenang dan sabar demi membalas jasa mereka yang sehabis nyawa menyokong dan membantunya selama ini.
"Bismillah.." ucap Mahadi sambil tangannya mencapai sebungkus nasi lemak yang baharu dibelinya dari kafeteria. Sambil itu juga, dengan perlahan, dia mengalihkan secawan air kopi bancuhan tiga dalam satu kegemarannya. Diletakkan kedua-dua item itu di atas meja belajarnya dengan kemas.
"Brrr.. sejuknya! Wah Adi, makan sorang nampak. Tak tunggu aku pun." tempiak satu suara dari tubuh tinggi lampai yang terpacul disebalik daun pintu biliknya yang dibuka dengan kasar.
Ditatapnya wajah lelaki itu sambil tersenyum. Rambutnya tebal, kusut tetapi masih basah. Mahadi pasti, dia baharu sahaja keluar dari bilik mandi.
"Cuba kau tengok jam Hello Kitty kau tu. Dah pukul berapa ni Rizal. Jangan selalu sangat lambat. Kau memang suka tengok Miss Arnie tu sambut kau dengan muka 'merah menyala' kan?" kata Mahadi berseloroh.
Rizal teman sebilik Mahadi dan mereka berkawan rapat sejak tiga tahun dahulu. Ketika itu, mereka berdua juga teman sebilik. Mereka bertemu sewaktu pendaftaran untuk melanjutkan pelajaran tahap diploma di sebuah IPTA di Kelantan. Rizal seorang yang sangat bersahaja untuk segala perkara. Kadangkala sikapnya yang sebegitu sering menimbulkan kemarahan Mahadi, tetapi dia sangat pandai mengambil hati Mahadi dengan kata-katanya. Perwatakan Rizal menjadikan dia senang didampingi dan bagi Mahadi dia amat senang berbicara dengan Rizal untuk semua perkara. Mahadi menganggap Rizal sebagai 'saudara kandungnya' di universiti kerana dia tidak mempunyai saudara lain kecuali bapanya.
Mahadi anak tunggal dan ibunya meninggal dunia sejak dia berumur 10 tahun lagi. Mahadi hadir dalam hidup kedua orang tuanya selepas mereka melayari bahtera perkahwinan yang berusia 15 tahun. Kerana itu, Mahadi amat disayangi Dato' Asnawi, bapanya yang merupakan salah seorang pelopor dalam industri makanan halal di Malaysia. Syarikat milik bapanya, Rasa Halal Sdn. Bhd. mempunyai tiga cawangan di Kelantan, Melaka dan Sabah. Kini, syarikat itu sedang dalam usaha untuk melebarkan sayapnya ke negara-negara Islam seluruh dunia.
Mahadi menyarung kasut kulitnya sambil mata masih tidak dialihkan kearah Rizal. Rizal seorang yang gemar bergaya dan koleksi pakaiannya memang pelbagai. Tidak seperti Mahadi, Rizal bukanlah anak usahawan berjaya. Malah bapanya hanya bekerja sebagai penjual keropok lekor dan ibunya pula seorang guru disekolah kerajaan. Rizal faham situasi dan ekonomi keluarganya dan disebabkan itu Rizal sangat rajin mengisi masa lapangnya dengan bekerja separuh masa dan membuat kerja sambilan. Mahadi amat menghormati Rizal dari sudut kesungguhan dan keberaniannya. Mahadi berharap dia mempunyai keberanian seperti Rizal kerana dia sentiasa tidak tetap hati dan sukar membuat keputusan.
"Cepatlah Rizal, aku kena masuk awal ni. Lagipun Miss Arnie suruh aku jumpa dia dulu sebelum masuk kuliah." kata Mahadi tegas.
"Baik, baik. Jom! Ish, tak sabar sangat nak jumpa 'kekasih hati' kau tu ye.." jawab Rizal. Muka Mahadi berkerut seketika.
"Macam-macam la kau. Nanti lambat yang kena bebel bukan kau, tapi aku." "Yelah.. Dah jom gerak!"
No comments:
Post a Comment