
Dari tempat duduknya, Zulaikha berasa cemas dan gementar. Perasaan itu yang sentiasa menemaninya sejak setahun yang lalu. Namun dia sangat gembira dengan perasaan sebegitu dan dia seakan-akan tertagih untuk melaluinya setiap hari. Hari ini, Zulaikha tahu bahawa dia dan 'lelaki' itu akan bertugas di dalam satu kumpulan. Dia berasa sangat teruja walaupun ini bukan kali pertama mereka bertugas bersama.
"Ika, dah siap ke dengan pembentangan hari ni?" suara Hanim menamatkan lamunannya.
"Err.. sudah. Tapi ada pada Mahadi. Dia akan bawa hari ni. Bila saya dah dapat nanti saya bagi kepada Hanim, ok?" sedikit tersekat-sekat percakapannya kerana masih memikirkan dirinya dan 'lelaki' itu. Hanim mengangguk dan berlalu pergi. Zulaikha berpaling dan tersenyum kecil. Sedikit malu dengan responnya kepada Hanim sebentar tadi.
Pintu bilik kuliah ditolak sehingga kedengaran bunyi yang amat kuat. Keadaan menjadi senyap sunyi seketika kerana semua pelajar menumpukan penglihatan mereka kearah pintu tersebut. Muncul Mahadi dan Rizal sambil tersenyum.
"Ha.. Mesti korang ingat Miss Arnie kan? Hahaha.." kata Rizal sambil jari telunjuknya digoyang-goyangkan kearah mereka yang berada di dalam bilik kuliah itu. Masing-masing tersenyum dan keadaan kembali menjadi riuh dengan sembang kosong dan gelak tawa mereka.
Mata Zulaikha terbuka luas, jantungnya berdegup semakin laju. Diusap-usap hujung tudungnya yang berwarna merah jambu muda dan dikemaskan supaya tampak elok. Ditarik kedua-dua hujung lengan bajunya dan diperbetulkan posisi duduknya supaya kelihatan bersahaja. Sambil matanya tidak putus-putus memandang susuk 'lelaki' pujaannya itu. Seperti biasa, rambut 'lelaki' itu disisir rapi dan dia kenal benar kemeja biru berjalur putih halus yang acapkali dipakai olehnya. Mungkin itu baju kegemarannya, fikir Zulaikha. Itu bukan masalah kepada sesiapa jika menyukai seseorang. Semua perkara baik atau buruk akan nampak elok dimatanya. Seperti Zulaikha juga, apa yang buruk dinafikan dan sentiasa berfikiran positif dengan setiap tindakan orang yang disukainya.
'Lelaki' itu menghampirinya berserta dengan senyuman, membuatkan jiwa Zulaikha semakin 'cair' dan luruh. Dengan yakin dia membalas senyuman dan menegakkan badannya. Ditarik kerusinya beberapa sentimeter jauh dari tempat duduk disebelahnya supaya 'lelaki' itu selesa disamping menjaga sikap dan tindak tanduknya sebagai seorang wanita Muslim.
"Assalamualaikum, Ika. Maaf saya lambat sikit. Faham-fahamlah dengan Rizal tu. Tadi pun saya dah jumpa Miss Arnie untuk ambil salinan nota ni untuk semua." kata Mahadi, lelaki pujaan Zulaikha.
"Waalaikummussalam. Oh, takpe. Memang Miss Arnie lewat masuk hari ni. Terima kasih ya Adi, saya menyusahkan awak pulak. Sepatutnya saya yang kena ambil nota tu."
"Ish, mana ada menyusahkan, dah tugas saya pun sebagai class rep. Sebenarnya, ucapan terima kasih untuk Ika sebab forwardkan SMS Miss Arnie tentang kelas hari ni semalam."
Kelembutan dan kesopanan Mahadilah yang membuatkan Zulaikha jatuh hati kepadanya. Sebenarnya, bukan saja Zulaikha, malah setiap orang yang mengenali Mahadi akan mudah terpikat kepada personaliti yang dipamerkan olehnya. Zulaikha berasa sangat beruntung kerana dapat mengenali Mahadi dan menjadi diantara mereka yang berkawan rapat dengannya.
Zulaikha bangun dan mula mengagihkan nota dari Mahadi kepada 17 pelajar lain di dalam kelasnya. Mahadi pula meminta perhatian mereka untuk memaklumkan kelewatan Miss Arnie untuk kelas hari ini dan tugas yang perlu dilaksanakan. Dapat dilihat kepuasan dan kegembiraan diwajah sebilangan pelajar dengan berita tersebut. Tidak kurang ada yang bingkas bangun dan keluar dari bilik kuliah. Mahadi dan Zulaikha hanya melihat kelakuan mereka dan sesekali berpaling sesama sendiri dan menggelengkan kepala. Mereka berdua berkelakuan sangat matang dan sangat memahami. Keserasian sebegitu yang membuatkan Zulaikha semakin yakin Mahadi adalah lelaki yang sepatutnya menjadi Imam dan pembimbingnya.
Tetapi, Zulaikha tetap khuatir impiannya itu akan kekal menjadi mimpi yang tak mungkin menjadi realiti. Dia tahu cintanya itu ibarat bertepuk sebelah tangan sekiranya dia masih memerap perasaan cintanya kepada Mahadi.
No comments:
Post a Comment