Perlahan-lahan kaki Zulaikha menitip tapak satu persatu. Dengan jari-jemari penuh mesra mengusap perlahan dahinya yang sedikit berpeluh. Penuh berhati-hati agar tidak terjatuh kerana kepalanya masih berdenyut-denyut. Semakin hampir ke destinasi, mata Zulaikha semakin kabur, kabur kerana air mata mula menutupi anak matanya. Jauh di dalam sudut hati, dia tahu semua yang terjadi bukan kehendak sesiapa. Allah Maha Mengetahui, dunia ini juga hanya tempat persinggahan. Siapa dirinya untuk melawan takdir Maha Esa? Memikirkan itu, Zulaikha pasrah dan percaya ada hikmah disebalik segala kejadian-Nya.
Seakan longlai langkahnya, namun Zulaikha tetap kuatkan semangat. Sesesorang yang ingin ditemuinya sedari tujuh tahun dahulu kini di depan mata.
"Alhamdulillah..." kalimah yang terpacul dari mulut Zulaikha, bersyukur kepadaNya kerana usahanya selama ini sudah menemui hasil.
"Kalau Adi masih disisi Ika, Ika mahu Adi tahu, cinta Ika tak pernah hilang. Masih kekal untuk Adi.."
Zulaikha teresak-esak. Dia sendiri tidak sedar air mata sudah membasahi hujung baju kurung putihnya. Dia tunduk, mengesat matanya, mengetap bibir dan tangan kanan menutup mulutnya. Disebalik kesedihan itu, ada penyesalan yang tidak sudah. Namun, segalanya tidak bermakna lagi kini. Apa yang terbentang dihadapan matanya sekarang hanyalah sekujur tubuh manusia yang lemah dan memerlukan sepenuh perhatian daripada para jururawat dan doktor yang bertugas. Zulaikha tidak mampu berbuat apa-apa. Dari jauh, dia hanya mampu melihat, tapi masih percaya, Allah ada untuknya, juga untuk Mahadi.
"Maafkan Ika, Adi. Maafkan Ika.." katanya perlahan.
No comments:
Post a Comment