Tuesday, November 27, 2012

Prologue


Perlahan-lahan kaki Zulaikha menitip tapak satu persatu. Dengan jari-jemari penuh mesra mengusap perlahan dahinya yang sedikit berpeluh. Penuh berhati-hati agar tidak terjatuh kerana kepalanya masih berdenyut-denyut. Semakin hampir ke destinasi, mata Zulaikha semakin kabur, kabur kerana air mata mula menutupi anak matanya. Jauh di dalam sudut hati, dia tahu semua yang terjadi bukan kehendak sesiapa. Allah Maha Mengetahui, dunia ini juga hanya tempat persinggahan. Siapa dirinya untuk melawan takdir Maha Esa? Memikirkan itu, Zulaikha pasrah dan percaya ada hikmah disebalik segala kejadian-Nya.

Seakan longlai langkahnya, namun Zulaikha tetap kuatkan semangat. Sesesorang yang ingin ditemuinya sedari tujuh tahun dahulu kini di depan mata.

"Alhamdulillah..." kalimah yang terpacul dari mulut Zulaikha, bersyukur kepadaNya kerana usahanya selama ini sudah menemui hasil.

"Kalau Adi masih disisi Ika, Ika mahu Adi tahu, cinta Ika tak pernah hilang. Masih kekal untuk Adi.."

Zulaikha teresak-esak. Dia sendiri tidak sedar air mata sudah membasahi hujung baju kurung putihnya. Dia tunduk, mengesat matanya, mengetap bibir dan tangan kanan menutup mulutnya. Disebalik kesedihan itu, ada penyesalan yang tidak sudah. Namun, segalanya tidak bermakna lagi kini. Apa yang terbentang dihadapan matanya sekarang hanyalah sekujur tubuh manusia yang lemah dan memerlukan sepenuh perhatian daripada para jururawat dan doktor yang bertugas. Zulaikha tidak mampu berbuat apa-apa. Dari jauh, dia hanya mampu melihat, tapi masih percaya, Allah ada untuknya, juga untuk Mahadi.

"Maafkan Ika, Adi. Maafkan Ika.." katanya perlahan.



Sinopsis

Poster 'berangan' filem. :')



Novel ini berkisarkan tentang beberapa individu / watak yang saling berkait di dalam satu cerita. Protagonis utama di dalam novel ini adalah Mahadi, seorang penuntut di IPTA. Seperti penuntut-penuntut universiti yang lain, bagi Mahadi Internet merupakan sahabat karibnya. Namun, kehidupan Mahadi yang biasa bakal berubah ketika dia menerima satu e-mail misteri dari seseorang yang tidak dikenali.

Mulanya bagi Mahadi, e-mail tersebut hanyalah sekadar ‘sampah’ yang ingin menipu atau memenuhi ruang peti masuknya. Tetapi, hari demi hari sikap ingin tahu Mahadi mula memanuhi kemahuannya merungkai misteri pengirim e-mail tersebut. Sedikit demi sedikit misteri disebalik pengirim e-mail itu dirungkai. Paling mengejutkan Mahadi, apabila dia mengetahui bahawa pengirim e-mail itu berasal dari Palestin ! Wilayah bergolak yang penuh dengan keganasan dan kesedihan.

Mahadi mula mengenali Safea, gadis misteri dari Palestin yang juga pengirim e-mail tersebut. Ajaibnya, setelah sekian lama berhubung secara maya dan tidak pernah langsung bertemu muka, Mahadi mula jatuh cinta pada Safea. Safea banyak mengajar Mahadi tentang Islam, kesyukuran dan kasih sayang. Sehinggalah suatu masa, Safea hilang tanpa berita. Membuatkan Mahadi risau. Mahadi membuat keputusan untuk ke Palestin menjejaki Safea.

Apa yang telah berlaku pada Safea? Apakah yang bakal ditemui oleh Mahadi di Palestin? Siapakah Safea sebenarnya?


Mukadimah penulis..

Assalamualaikum semua..

Alhamdulillah, setelah sekian lama baru kini datang keinginan untuk saya mengarang sebuah novel online di bawah tajuk "Warkah Cinta dari Palestin" ini. Sejujurnya, waktu dan idea adalah cabaran utama untuk saya menghasilkan karya sebegini. Namun, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan ia terus berjaya. In shaa Allah.

Tentang danialHaikal

Saya memang minat mengarang, menulis lirik, mencipta lagu dan pelbagai lagi. Kalau mahu bercerita tentang penulisan novel sebegini, sebenarnya saya sudah mula menghasilkan novel ringan dan cerpen-cerpen pendek sejak sekolah menengah lagi. Tapi waktu itu, pembaca setia hanyalah dari teman-teman sekelas sahaja. Sekarang agak menyesal kerana kesemua hasil penulisan saya ketika itu sudah hilang entah kemana. :'(

Diri sebenar saya tidaklah se-romantis ini, malah saya sebenarnya seorang yang lantang dan ceria. Tuhan sahaja yang tahu, betapa gilanya saya mahu menahan diri dari menjadi diri yang sebenar ketika mengarang novel ini.

Semoga semangat saya akan terus kuat untuk sentiasa mengarang! Yosh!!



Pujangga: Tiga sebelum ini sudah gagal, harap ini akan berjaya. In shaa Allah.